Kita menghitung hari,
Detik demi detik berlalu,
Namun tiada satu pun yang berada dalam keadaan benar benar pasti!
Kita merancang itu dan ini
Namun tiada jayanya tanpa restu Illahi.
Perginya dia, insan yang bergelar bapa kepada empat orang anak
Perginya dia, seorang insan yang sudah bergelar suami
Perginya dia, seorang karporal yang berdedikasi
Perginya dia, ketika sedang menjalankan amanat yang diberi.
Perginya dia, memberi satu tamparan hebat buat keluarga.
Dia , insan yang bernama Rasul Bin Tumin.
Dia anak ke 6 daripada anak anak nenekku,
Dia abang kepada ayahku
Dia pak cik kepada diriku
Dia ayah kepada sepupuku
Dia suami kepada mak cik ku.
Dia yang tinggal disebelah rumah nenekku.
Raungan anak sulungnya yang baru tiba di rumah nenekku membuat yang ada disitu berlari masuk. Tak sanggup melihat duka yang ditanggung oleh gadis berusia 16 tahun itu. Menjadi anak sulung dan merupakan anak yang paling rapat dengan ayahnya menjadikan dia hilang punca seketika. Pilu yang bertandang dijiwa diluahkan dengan bacaan Yassin untuk arwah ayahnya. Ketika itu, jenazah arwah masih belum tiba.
Masuk sahaja keranda didalam rumah nenekku, gadis itu jatuh terjelepok. Buat pertama kalinya dalam hidup aku melihat sendiri jenazah yang sedia dikafankan dihadapan mataku! Kain kafan yang membalut muka arwah dibuka perlahan. Mengalir air mataku saat melihat kucupan yang diberikan oleh isteri dan anak anaknya. Nenekku yang bertudung putih cuba mengelap air matanya yang tidak mahu berhenti. Atukku sudah mencium. Ayahku sudah cium dahi arwah. Anak anak arwah juga sudah cium. Hanya yang paling kecil itu. Aiman namanya. Dia masih terlalu kecil untuk memahami. Disuruh cium, dia tak mahu. Tetapi pabila mulut kecilnya bertanya pada aku ''abah mana?'' Aku terkedu.
Kuat sungguh isterinya. Tiada setitis pun air jernih yang mengalir ditubir matanya, kecuali saat mencium dahi arwah. Mungkin kerana mengenangkan perubahan besar yang bakal berlaku dalam kehidupan sehariannya. Selepas itu, tiada lagi tangisan. Ya! wanita itu begitu tabah namun siapa yang bisa menebak apa yang bermain di hati dan fikirannya saat itu? Hanya Allah yang tahu. Pandangan mataku sudah kabur. Aku betul betul berdiri di hujung kaki arwah. Hilang perasaan takut. Hilang perasaan was was. Kekaburan itu membuatkan aku tidak betah berdiri lama lama. Aku keluar dari rumah nenek ku. Segera keluar saat mereka ingin membawa jenazah ke masjid. Saat kain kafan kembali ditutup, saat jenazah kembali kedalam keranda dan saat jenazah dibawa keluar dari rumah nenekku. Nenek jatuh. ''Anak aku dah tak ada''. Itu sahaja yang aku mampu dengar. Hanya itu!
''Mama jomlah pergi. Orang nak tengok sampai habis''. Aku mendesak mama untuk pergi ke tanah perkuburan.Aku mahu melihat bagaimana proses pengebumian itu berlaku. Ini kali pertama dalam hidupku. Benar ini memang kali pertama. Arwah juga agak rapat denganku. Tak pernah aku merasakan dia seperti orang asing dikala dia mampir kerumahku. Dia juga melayan kerenahku sama seperti anak anaknya. Diajak jalan kesawah, dia sentiasa cuba uasahakan. Tetapi, bila dikenangkan. Aku tidak punya banyak kenangan bersama arwah. Kulihat wajah ayahku yang tekun mengkambus tanah saat jenazah arwah selamat dimasukkan kedalam liang lahad. Saat itu, perasaan yang ada tidak dapat diterjemahkan. Aku seakan akan hilang dari dunia yang nyata. Aku tak tahu apa yang aku fikirkan. Kosong!
Ya Allah , kau cucurilah rahmat keatas roh arwah kerana sesungguhnya dia pergi dalam keadaan sedang menjalankan tugas dan amanah yang diberi. Arwah sedang menjalankan tanggungjawab yang telah kau beri kepadanya sepanjang dia menjadi hambaMU didunia ini. Ya Allah, kau cucurilah rahmat keatas roh si mati dan kau ampunkanlah dosa dosanya. Kau berilah ketabahan kepada keluarga arwah dan kau berilah kemudahan jalan dan rezeki kepada keluarga mereka. Daripada tanah dia diciptakan dan kepada tanah jualah dia dikembalikan kepadaMU.
Semoga Allah mencucuri rahmat keatas arwah Rasul Tumin
.Al- Fatihah.
Isnin , 14 Mei 2012 perginya arwah